Uniknya ternakan kambing Boer
![]() |
|
Abdul Aziz Jamaludin (kiri) bersama kakitangannya memberi penerangan kepada pelatih mengenai kambing jenis ‘Cross Boer’ dan ‘Full Blood Boer’ di Serting, semalam. - utusan/Abd. Razak Aid
|
JEMPOL 8 Mac - Sebut sahaja mengenai kambing, ada di kalangan kita yang menggemari keenakan dan kelazatannya baik ia dipanggang mahupun digulai mengikut cita rasa masingmasing.
Tidak kurang pula yang menganggap daging kambing merupakan salah satu faktor menyebabkan berlakunya komplikasi penyakit termasuklah darah tinggi berikutan kadar kolestrol yang tinggi.
Berikutan itu tidak ramai di kalangan penternak di negara ini yang bergiat secara aktif dalam penternakan kambing apatah lagi kambing jenis ‘Cross Boer’ dan ‘Full Blood Boer’.
Bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan, Subur Sejahtera Sdn. Bhd. menghasilkan baka berkenaan yang dilihat satu usaha bagi memastikan bekalan import daging kambing dapat dikurangkan.
Menurut Pengarah Urusannya, Abdul Aziz Jamaludin, syarikat yang mula ditubuhkan sejak 2003 ini bukan sahaja menghasilkan jenis baka kambing bermutu tinggi malah mempunyai saiz yang besar.
“Apa yang dapat kita lihat kambing jenis ‘Cross Boer’ dan ‘Full Blood Boer’ ini merupakan kacukan beberapa baka kambing yang dipilih dan disesuaikan dengan keadaan iklim negara ini.
“Ia bukan sahaja kurang hamis berbanding dengan kambing biasa malah jika dilihat saiznya lebih besar,” katanya.
Kata beliau, sehingga kini sebanyak 1,393 ekor masih diternak oleh syarikat dan jumlahnya dijangka terus bertambah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ditanya mengenai aspek penjagaan kedua-dua jenis kambing berkenaan, Abdul Aziz mengakui agak sukar untuk menjaga kambing berkenaan memandangkan ia memerlukan perhatian dan pemeriksaan yang lebih kerap.
Katanya, pernah terjadi 800 ekor kambing kedua-dua jenis baka ini mati akibat serangan penyakit menyebabkan syarikatnya terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Itu merupakan pengalaman pahit syarikat kami dan sejak dari itulah kita telah menjalankan pelbagai cara termasuk perbincangan dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Pada masa sama, bagi memastikan baka-baka ini mendapat makanan yang sesuai kita juga telah menanam rumput jenis Guinea, Stylo dan Nipea.
“Malah melalui pengalaman itu juga pihak syarikat juga bukan sahaja memasarkan baka-baka kambing berkenaan malah memberi mereka penerangan pengetahuan mengenai cara penjagaannya,” katanya.
Ditanya mengenai kebolehupayaan baka ini dipasarkan di peringkat tempatan, Abdul Aziz sehingga kini berkata, permintaan terhadap kedua-dua baka kambing ini amat memberangsangkan mengikut gred.
Katanya, sehingga kini permintaan di negeri ini terus meningkat terutamanya di beberapa kawasan Felda selain orang perseorangan untuk menjalankan industri penternakan.
“Setiap baka jantan gred ‘Full Blood Boer’ dijual antara harga RM1,000 hingga RM1,500 manakala baka betina dijual antara RM600 hingga RM1,200 seekor.
“Pada masa sama, kita juga bercadang untuk memberikan khidmat nasihat kepada pembeli yang mana kita bukan sahaja memasarkan baka-baka kambing kepada orang ramai malah mendidik cara dan bagaimana untuk menternak,” katanya.
Rancang pasarkan karas ke seluruh negeri
ALOR SETAR 23 Feb. - Setelah melihat kejayaan ibunya membuka gerai kuih karas panas di Pekan Rabu di sini, Junaini Ramli, 32, merancang memasarkan kuih yang diusahakan oleh keluarganya ke seluruh negeri Kedah.
Dengan kepakaran yang dimiliki oleh ahli keluarganya, Junaini yakin satu hari nanti kuih karas warisan turun temurun keluarganya akan dikenali oleh penggemar kuih tradisional.Jelasnya, masalah kewangan merupakan salah satu kekangan yang dihadapi dalam usaha membesarkan perniagaan keluarganya.
“Semasa tinggal di Melaka, saya ada membuat kuih karas untuk dijual.
“Saya dapati kuih ini memang mempunyai peminat yang tersendiri dan potensi kuih ini dipasaran negara kita amat besar,” katanya ketika ditemui di Pekan Rabu di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia dan ahli keluarganya yang lain memang sedang berusaha mencari modal untuk memasarkan kuih karas mereka ke seluruh negeri ini.
“Saya tidak mahu kuih ini hanya boleh dinikmati oleh penduduk di sekitar bandar raya ini sahaja.
“Saya ingin melihat kuih ini dipasarkan ke seluruh negeri Kedah dan kalau boleh ke seluruh negara,” katanya.
Menurut Junaini, ibunya Fatimah Mehat, 53, juga berhasrat untuk melihat kuih karas warisan nenek moyang keluarga mereka dapat dinikmati oleh semua golongan.
“Saya mahu kuih karas ini dikenali ramai terutama golongan muda,” ujarnya.-Utusan Malaysia
Kuih karas warisan Melayu
ALOR SETAR 23 Feb. - Kuih karas merupakan salah satu kuih tradisi orang Melayu yang masih digemari sehingga kini.Kuih yang diperbuat daripada tepung beras ini mempunyai bentuk agak unik iaitu kelihatan seperti sarang burung dan mempunyai jaringan halus.Kuih karas mudah didapati di gerai-gerai yang menjual kuih-muih tradisi di Pekan Rabu di sini.
Selalunya, penggemar kuih ini hanya membeli kuih karas yang siap dibungkus di dalam plastik tanpa mengetahui bagaimana proses untuk menghasilkan kuih ini.
Bagi mereka yang berminat mengetahui dan melihat sendiri cara-cara untuk membuat kuih karas, mereka boleh ke kedai Junaini Ramli, 32, yang terletak di tingkat tiga Pekan Rabu.
Di situ, penggemar kuih karas bukan hanya boleh membeli kuih karas yang masih panas, mereka juga boleh melihat sendiri bagaimana proses menghasilkan kuih tersebut.
Junaini memberitahu, ibunya, Fatimah Mehat, 53 membuka kedai tersebut sejak setahun lalu kerana ingin mencuba untuk memasarkan produk kuih karas warisan turun-temurun keluarga mereka.
“Sebelum ini, ibu hanya membuat kuih karas di rumah kami di Kampung Padang Wat, Mukim Lepai di sini.
“Selepas kuih karas ini siap dibuat di rumah, ibu saya akan menghantar kuih-kuih tersebut kepada peniaga-peniaga di Pekan Rabu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pekan Rabu, di sini baru-baru ini.
Menurut Junaini, kerja memproses kuih karas di Pekan Rabu itu turut dibantu adiknya, Norfatihah Ramli, 13.
Junaini berkata, ibunya membuka perniagaan menjual kuih karas panas di Pekan Rabu kerana yakin orang ramai berminat mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana ia dihasilkan.
![]() |
|
Kuih karas yang masih panas perlu disejukkan seketika sebelum dibungkus.
|
“Sebelum ibu saya buka perniagaan ini memang ramai yang bertanya bagaimana kuih karas ini dibuat.
“Mereka nampak kuih karas seperti satu kuih tradisi yang sukar dan remeh untuk dibuat namun sebenarnya kuih ini amat mudah untuk dihasilkan,” katanya.
Kata Junaini, dia mula belajar daripada ibunya cara-cara untuk membuat kuih karas sejak dari kecil.
“Dalam keluarga saya, memang kami enam beradik termasuk dua adik lelaki mahir membuat kuih karas.
“Kuih karas merupakan warisan keluarga kami, nenek dan datuk saya juga adalah pembuat kuih karas,” katanya.
Jelasnya, kuih karas dihasilkan dengan menggunakan adunan tepung beras cair yang dikirai dengan menggunakan acuan khas dalam minyak panas sehingga kuning keemasan.
Setelah masak dan bertukar warna ia kemudian diangkat dan dilipat mengikut bentuk yang dikehendaki.
“Pelanggan boleh membeli kuih karas dengan harga serendah RM2 dan RM3.
“Mereka juga boleh cuba membuat kuih karas sendiri di kedai milik ibu saya ini,” kata Junaini.
Bagi mereka yang ingin merasai keenakan kuih karas, mereka boleh terus mengunjungi gerai Junaini di Pekan Rabu atau menelefon untuk menempahnya di talian 019-4519235 atau 04-7145479.
Mara Rancang Lahir Usahawan Jutawan Menerusi ‘Groom Big’
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan program ‘Groom Big’ yang bermatlamat melahirkan usahawan bergelar jutawan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad hari ini.
Beliau berkata, program itu yang dijangka dilaksana sebelum akhir tahun ini akan mensasarkan usahawan sedia ada dan juga usahawan baru yang berpotensi.
“Saya tidak boleh dedahkan lagi maklumat terperinci mengenai program ini tetapi antara yang akan kita buat ialah mengadakan kursus bagi usahawan-usahawan itu untuk memajukan lagi perniagaan mereka,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan agensi itu di sini hari ini.
Ibrahim yang memegang jawatan itu mulai 1 Januari lepas berkata, beliau juga merancang untuk memastikan lebih ramai pelajar tajaan Mara melanjutkan pengajian di luar negara.
“Kita perlu meletakkan sasaran pelajar tajaan Mara untuk memasuki universiti tersohor di seluruh dunia seperti Harvard, Cambridge dan Oxford, dan seterusnya menyarankan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran, selain mengikuti kursus sijil-sijil profesional,” katanya.
Bagi meningkatkan prestasi Mara secara keseluruhan, Ibrahim berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan melantik konsultan untuk menilai agensi itu daripada semua aspek.
“Dengan cara ini kita dapat lihat hala tuju Mara seterusnya,” kata beliau yang berazam untuk memelihara kualiti agensi yang ditubuhkan pada 1966 itu. - BERNAMA
Usahawan sandaran negara berpendapatan tinggi
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Peralihan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi pada asasnya bergantung kepada kejayaan dan kegagalan usahawan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia kini sedang bersaing dengan negara-negara berpendapatan tinggi, sekali gus mengurangkan jurang kelebihan yang ada.
Beliau berkata, negara kini sedang terperangkap sebagai sebuah ‘Negara Berpendapatan Sederhana’, terhimpit sebagai pengeluar bergaji rendah tetapi pembawa perubahan yang pantas.
Biarpun begitu, para usahawan negara kini berada di barisan hadapan untuk berada di pasaran global, tambahnya.
Berikutan itu, adalah penting sebarang keputusan pelaburan dibuat oleh para usahawan dan pasaran kolektif.
”Untuk melepaskan daripada perangkap ini, negara perlu melakukan perubahan fundamental termasuk mengubah kepelbagaian kepada pengkhususan dan membina kepakaran pembuatan sedia ada untuk melepasi kawasan-kawasan tertentu.
”Kita perlu melakukan pembaharuan dan memulakan usaha meningkatkan momentum pertumbuhan tinggi untuk memastikan visi 2020 menjadi realiti,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Ernst & Young kelapan, malam ini.
Muhyiddin berkata, usahawan juga perlu mengubah pengumpulan modal kepada inovasi termasuk nilai tambah sumber berasaskan industri.
Tambahnya, untuk menggunakan sumber-sumber pertumbuhan, mulai sekarang usahawan tempatan perlu lebih fokus dan menyelaras usaha mengenal pasti jurang kelebihan dalam ekonomi global.
Menurut beliau, para usahawan mempunyai berbagai platform membina transformasi dengan mengambil kelebihan lokasi geografi dan kepelbagaian kebudayaan dan peluasan kelompok industri sedia ada.
Untuk itu, usahawan-usahawan perlu mengenal pasti peta pengeluaran global melalui peluang pengkhususan dalam peringkat pengeluaran secara spesifik.
”Ini bukan lagi mengenai suntikan lebih banyak input tetapi bagaimana jumlah input yang sama boleh mewujudkan lebih banyak pengeluaran,” ujar beliau._Utusan
Minggu Usahawan mulai hari ini
JOHOR BAHRU 10 Dis. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor akan mengadakan Minggu Usahawan selama tiga hari di Plaza Larkin dan Hotel Seri Malaysia bermula esok.
Menurut kenyataan jabatan itu, program terbahagi kepada pameran dan jualan produk usahawan serta kursus keusahawanan.
“Pameran dan jualan produk diadakan di Plaza Larkin, manakala kursus keusahawan di Hotel Seri Malaysia Johor Bahru, kedua-duanya pada 12 hingga 13 Disember ini.
“Perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Minggu Usahawan itu diadakan bertujuan memperkenalkan usahawan-usahawan yang dilahirkan JKM di samping memberi ruang kepada mereka mempamerkan produk-produk yang diusahakan.
Kursus keusahawanan yang diadakan melibatkan 90 peserta daripada kumpulan sasar yang dipilih JKM negeri.
Maklumat lanjut mengenai program berkenaan boleh diperoleh dengan menghubungi talian 07-2282971-Utusan
Usahawan perlu lebih kreatif pasar produk
SANTUBONG 10 Dis. - Usahawan di negeri ini perlu lebih kreatif untuk memasarkan produk keluaran mereka sekiranya ingin menembusi pasaran luar negara.
Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, peniaga tidak boleh hanya bergantung pada corak pemasaran produk sedia ada kerana strategi pemasaran perlu dipelbagaikan bagi meningkatkan hasil penjualan produk mereka.
Menurutnya, penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) dilihat sebagai pendekatan terbaik kepada peniaga untuk memasarkan produk masing-masing ke peringkat global.
”Kita mesti merangka strategi terbaik dan mengikut peredaran zaman dalam memasarkan sesuatu produk.
”Dengan menggunakan kecanggihan ICT, kita dapat mengurangkan kos transaksi, memaparkan ketelusan harga dan mewujudkan kemungkinan pengagihan semula keuntungan dalam rangkaian pembekalan,” katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pemasaran Asia Pasifik Ketiga yang diadakan di Damai Beach Resort Hotel di sini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Dr. Khairuddin Ab. Hamid, Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Unimas, Prof Dr. Shazali Abu Mansor dan Pengerusi Persidangan APMC Ketiga, Shahrizal Hashim.
Abang Johari memberitahu, Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi dan hasil daripada produk keluaran sesebuah syarikat itu mampu dipasarkan ke peringkat yang lebih jauh lagi.
Namun jelasnya, usaha itu memerlukan promosi yang lebih efisien daripada pengusaha produk itu sendiri.
”Promosi juga mesti diterapkan dengan ciri-ciri yang boleh dipercayai supaya pelanggan asing akan tertarik dengan produk yang kita keluarkan,” jelas beliau.
Sementara itu, Abang Johari berkata, pembangunan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) bukan sahaja akan menjana pendapatan untuk negeri ini malah turut memberi kesan kepada negara-negara lain di Asia Tenggara.
”Dengan adanya SCORE, lebih banyak pelabur asing terutama dari benua Eropah dan Asia akan menjalankan urusniaga berskala besar di negeri ini,” katanya.-Utusan
Naim mewah berkebun kubis
RANAU 9 Dis. - Satu ketika dulu mungkin tiada siapa yang mengenali Naim Adam - anak seorang petani yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Apatah lagi dengan hanya menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan tiga, tiada apa yang boleh diharapkan daripadanya.
Namun dengan pengorbanan dan usaha gigihnya, siapa sangka anak petani yang tidak mempunyai ijazah atau diploma itu kini mampu meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.
Betullah seperti apa yang menjadi sabda Rasulullah SAW bahawa sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan.
Menyedari hakikat itulah, Naim yang kini berusia 46 tahun mengambil tindakan nekad untuk berbakti kepada tanah bermula sejak umur 15 tahun.
Lelaki yang dilahirkan lima hari sebelum tarikh pembentukan negara Malaysia di Kampung Kaulan itu mula berkecimpung dalam bidang pertanian sejak remaja lagi.
Malah, tidak hairanlah beliau hanya mampu menamatkan zaman persekolahannya sehingga tingkatan tiga sahaja kerana memilih kerjaya sebagai petani.
Menurut Naim, minat mendalam dalam bidang pertanian itu juga mendapat dorongan daripada kedua ibu bapanya yang juga merupakan petani.
Katanya, selepas mengambil keputusan berhenti sekolah untuk menanam sayur, dia telah berazam menjadi petani moden yang mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.
“Saya sebenarnya banyak belajar daripada kedua ibu bapa saya mengenai teknik dan cara menanam sayur di tanah tinggi malah kerja ini juga sudah sebati dengan hidup saya.
“Selain itu, kejayaan saya hari ini juga adalah hasil bantuan daripada isteri dan anak-anak selain bantuan modal dan nasihat yang disediakan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini sayuran utama yang ditanamnya ialah kubis yang amat sesuai dengan suhu dan cuaca tanah tinggi pergunungan di Ranau, Sabah.
Selain itu katanya, dia juga telah mempelbagaikan lagi penanaman dengan menanam lada besar, sawi dan kuchai.
Menurutnya, dalam usaha mengembangkan lagi penanaman sayur dia juga telah membuat pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Pada masa ini katanya, dia boleh berbangga kerana mempunyai 10 pekerja sendiri selain mempunyai jentera pembajak.
Katanya, hasil sayur-sayuran khususnya kubis dijual di gerai-gerai sayur di pekan Ranau dan Kundasang serta kepada pemborong luar.
“Hampir setiap minggu pemborong akan datang dan saya juga dapat menjual sekurang-kurangnya satu tan,” katanya.
Katanya, harga borong bagi kubis adalah antara RM1 dan RM1.20 bagi setiap kilogram.
Dalam pada itu katanya, beliau amat berpuas hati dengan usahanya selama ini dan berharap kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk anak-anaknya dan generasi muda menceburi pertanian.
“Walaupun saya tidak mempunyai kelulusan tinggi, saya dapat pendapatan yang baik, jadi anak-anak saya yang belajar hingga ke universiti harus lebih berjaya daripada saya,” katanya.
Katanya, hasil usahanya bukan sahaja dapat memberikannya rumah yang selesa, malah dapat menyara ketiga-tiga anaknya melanjutkan pelajaran sehingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Tambahnya, meskipun telah berjaya, dia mempunyai perancangan untuk membuka ladang sayur yang lebih luas pada masa akan datang.
Katanya, pada masa ini dia telah mengenal pasti beberapa kawasan lagi yang akan dimajukan dengan tanaman sayur.
Sementara itu isterinya Nancy@Junaidah Gausion, 44, berkata, kesabaran dan sikap tidak berputus asa mereka sekeluarga merupakan faktor utama kejayaan tersebut.-Utusan Malaysia
Francais: Model industri diperkenal tahun depan
KUALA LUMPUR 9 Dis. - SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan memperkenalkan Model Industri Francais dengan kerjasama dengan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) pada suku pertama tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, model baru itu adalah tambahan kepada tujuh model sedia ada yang dibangunkannya dengan agensi-agensi berkaitan sejak pengenalannya pada Julai 2007.
Model-model itu dibangunkan supaya SME Corp bersama-sama agensi yang terbabit boleh mengukur impak dan hasil program mereka menerusi alat penaksiran kuantitatif yang dikenali Score.
Beliau menjelaskan, tujuh model itu melibatkan sektor pembuatan dan khidmat berhubung pembuatan; teknologi komunikasi maklumat (ICT); perdagangan peredaran; pembinaan; penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih; khidmat profesional dan pelancongan.
Berikutan itu katanya, SME Corp akan terus membangunkan spesifik model bagi memenuhi pelbagai industri sub sektor.
“Kami akan membangunkan pelbagai model dengan rakan kongsi yang berbeza dan juga beberapa bakal sub sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memeteraikan perjanjian dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali untuk Program Score+ MSC Malaysia.
Menurut Hafsah, dalam pada itu, pihaknya telah menggunakan Score untuk menilai impak program-program mereka terhadap pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“SME Corp boleh membantu memulakan dan memudahkan proses itu tetapi kami juga mahu rakan-rakan kongsi untuk melaksanakannya supaya boleh mengukur impak dan hasil program menggunakan Score,” jelasnya.
Tambahnya, sehingga Oktober lalu, terdapat 2,818 PKS telah diberi penarafan melalui Score.
Daripada jumlah itu, 72.2 peratus diberikan penarafan dua bintang, 24.5 peratus (tiga bintang), 3.3 peratus (empat bintang) manakala tiada sebarang PKS yang layak menerima penarafan lima bintang.
Buat masa ini, Score digunakan untuk mengenal pasti PKS bertaraf tiga dan empat bintang untuk Program Perhubungan Perindustrian dengan pasar-pasar raya hyper termasuk Tesco, Carrefour, Giant dan Mydin manakala 241 syarikat disyorkan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Mengenai kerjasama dengan MDeC, Hafsah berkata, kedua-dua pihaknya akan membangunkan Score+ iaitu gabungan Score dan kaji selidik impak syarikat berstatus MSC untuk industri ICT.
“Perjanjian ini akan meningkatkan daya saing PKS menerusi Program Score+ MSC Malaysia.
“Ketika ini, sebanyak 742 syarikat telah dikemukakan kepada SME Corp oleh MDec,” katanya.
Sementara itu, Badlisham berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 874 syarikat tempatan berstatus MSC telah diberi penarafan dan dijangka kira-kira 600 lagi menjelang pertengahan tahun depan.
“Program SCORE+ MSC Malaysia diwajibkan bagi semua syarikat tempatan berstatus MSC,
“Kami menyasar kira-kira 30 peratus syarikat mendapat penarafan tiga bintang pada akhir tahun depan dan sekurang-kurangnya dua mendapat penarafan lima bintang menjelang 2015,” ujar beliau.-Utusan Malaysia
Karnival Mega MARA bantu tingkat jualan
MUAR 6 Dis. - Penganjuran Karnival Jualan Mega 2009 oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukan sahaja berjaya meningkatkan jualan para usahawan bumiputera, malah memperluaskan lagi rangkaian perniagaan usahawan-usahawan terbabit di seluruh negeri ini.
Pengarah MARA negeri Johor, Ahmad Sokirin berkata, karnival berkenaan merupakan kesempatan terbaik untuk mempromosikan produk-produk tempatan bermutu tinggi di samping menarik lebih ramai wakil pengedar.
Katanya, karnival jualan yang mula diperkenalkan pada tahun ini sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai berikutan kepelbagaian produk yang ditawarkan.
“Dalam program Jualan Mega ini, barang-barang seperti produk makanan dan kesihatan dijual secara runcit pada harga borong dan ini membuatkan ia lebih murah.
“Kami juga mahu menaikkan lagi jenama produk-produk buatan tempatan serta membantu para usahawan mendapat wakil jualan di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Jualan Mega peringkat daerah Muar dan Ledang yang disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.
Karnival selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perancangan Korporat Mara, Mohd. Rosdi Ismail serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abd. Wahab Ridwan.
Program Jualan Mega yang diadakan di Muar dan Ledang itu merupakan lokasi keempat penganjurannya selepas Johor Bahru, Kota Tinggi dan Segamat.
Ahmad Sokirin berkata, pihak beliau meletakkan sasaran karnival yang menghimpunkan sebanyak 80 gerai itu akan mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM500,000.
“Karnival ini tidak hanya menarik penyertaan para usahawan, ia juga melibatkan pameran-pameran daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta bank-bank tempatan,” katanya.
Sementara itu, Hamim dalam ucapannya menyarankan para usahawan supaya lebih kreatif dalam memasarkan produk serta menggunakan sepenuhnya kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
“Saya yakin program seperti ini akan terus mendapat sambutan pada masa akan datang kerana ia memberi pelbagai kelebihan kepada golongan peniaga dan juga pengguna,” katanya.-Utusan Malaysia



